Lebih separuh projek aktif di Pulau Pinang tidak patuh EIA

0
225

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

LEBIH separuh projek di Pulau Pinang yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di Pulau Pinang dikesan gagal mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ia melibatkan sebanyak 54 daripada 85 projek aktif yang dikesan hasil pemeriksaan pihaknya sepanjang tahun ini termasuk projek berskala besar seperti kuari.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 23 kompaun dan 16 Notis Arahan iaitu di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan manakala satu penahanan operasi kelengkapan serta tujuh tindakan mahkamah turut diambil.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk pemaju gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan khususnya dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar berkaitan ‘Peranan EIA dalam Pembangunan Mampan’ di Seberang Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, secara keseluruhan pihaknya telah menjalankan sebanyak 1,265 pemeriksaan ke atas projek aktif yang tertakluk kepada syarat EIA di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 743 pemeriksaan atau 58 peratus projek aktif didapat mematuhi syarat EIA manakala 522 pemeriksaan atau 42 peratus lagi didapati gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Sepanjang tempoh sama juga tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 serta 147 Notis Arahan (Seksyen 31 dan 37) kepada pemilik premis manakala 12 penahanan operasi kelengkapan serta 48 tindakan mahkamah turut diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Sharifah Zakiah berkata, JAS Pulau Pinang sepatutnya melakukan pemeriksaan ke atas 8,492 buah projek aktif sepanjang tahun ini berdasarkan jumlah aduan yang diterima.

“Bagaimanapun disebabkan bilangan kakitangan yang terhad yang mana kita hanya mempunyai 60 kakitangan teknikal, maka JAS Pulau Pinang hanya mampu menjalankan kira-kira 15 peratus pemeriksaan buat masa in.

“Sedangkan jumlah aduan khususnya berkaitan pencemaran alam sekitar yang diterima di Pulau Pinang ketika ini boleh dianggap antara yang tertinggi selepas Selangor.

“Jadi situasi ini menyukarkan kita menyiasat segala aduan yang diterima secara terperinci,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here