PN mampu menangi hampir semua kerusi Parlimen di Kedah

0
318

Oleh RIZQI ZABIDI

Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin mampu memenangi jumlah kerusi Parlimen yang jauh lebih tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), berbanding angka yang diperolehi dalam PRU-14 pada 2018.

Malah menurut Ketua Penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli, PN tidak mustahil akan menang di hampir kesemua kerusi yang bakal ditandingi di negeri ini nanti.

“Sasaran kita secara terperinci akan dikeluarkan PN Kedah melalui Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Cuma yang boleh saya nyatakan, sasaran kerusi kita dalam PRU kali ini lebih baik daripada PRU-14.

“Mungkin kita boleh menang hampir kesemua kerusi PRU ditandingi dan ini akan beri nilai tambah kepada pembentukan kerajaan PN di peringkat Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kampung Tanjung Kiri, Kuala Nerang dekat Padang Terap, semalam.

Khairul Anuar yang juga Ketua Penerangan Bersatu Kedah berkata, antara faktor yang mampu menyumbang kepada pertambahan undi kepada PN di Kedah adalah kepimpinan Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar yang dilihat bersih, telus dan berintegriti.

Malah katanya, tindakan diambil pentadbiran di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi turut mendatangkan keyakinan kepada para pelabur hingga menghasilkan jumlah pelaburan asing tertinggi dalam sejarah Kedah, pada tahun lalu.

“Menerusi persiapan jentera, bilik gerakan dan kajian dibuat, kita memperolehi beberapa petunjuk positif terhadap sokongan dan peningkatan undi kepada PN di Kedah.

“Kerajaan negeri juga dilihat sentiasa agresif dan melaksanakan usaha berterusan menyelesaikan masalah rakyat. Ini akan memberi pulangan positif terhadap penerimaan rakyat kepada PN,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, ketiga-tiga parti yan menunjangi PN iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan akan diberi peluang untuk bertanding di Kedah.

“Pembahagian kerusi diputuskan secara bersama dan bukan hanya parti-parti tertentu saja. Ketiga-tiga parti ini akan terlibat dan keputusan mengenainya akan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Bersatu di Kedah, Khairul Anuar berkata, Bersatu mungkin tidak akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Pas atau UMNO yang sudah lama berada dalam arena politik tanah air memandangkan Bersatu baru saja ditubuhkan sejak 2016.

“Tetapi perlu diingat, kita sudah ada dua Perdana Menteri dari Bersatu dan parti ini juga antara yang berjaya mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan pada PRU-14. Maknanya walaupun kita dilihat kecil, tetapi sokongan terhadap Bersatu tidak boleh dipandang enteng.

“Kita juga sering menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) walaupun mereka labelkan Bersatu sebagai parti nyamuk. Secara logiknya apabila sesebuah parti diserang secara berterusan, dah tentu parti itu ada kesan atau memberi impak dalam politik negara hingga menyebabkan musuh bimbang atau gerun,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here