PBM bakal sendirian hadapi PRU, permohonan sertai BN ‘tergantung’

0
265

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) diketuai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan hampir pasti bergerak sendirian tanpa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Menurut laporan Berita Harian, hal ini kerana BN dikatakan tidak memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama dan kesepakatan dengan PBM.

Sumber itu mengesahkan permohonan PBM untuk menyertai BN setakat hari ini masih dalam status ‘tergantung’ dan dijangka tidak sempat diputuskan sebelum hari penamaan calon, 5 November depan.

“Fokus untuk menangkan BN dulu. Perbincangan (hasrat PBM sertai BN) itu boleh dilanjutkan selepas PRU nanti,” katanya ringkas, turut memaklumkan keutamaan BN kini ke arah kesiapsiagaan gerak kerja PRU serta memuktamad calon yang bertanding kelak.

Langkah itu sekali gus menyukarkan dan memberi tamparan hebat buat PBM yang merancang menawan beberapa kerusi Parlimen dalam PRU kelak, selepas mereka juga tidak membentuk kesepakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta Gerakan Tanah Air (GTA).

PBM sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyertai BN dalam usaha membentuk kerjasama pilihan raya dengan gabungan itu, namun Zuraida yang juga Presiden PBM mahukan kerjasama itu dibentuk sebelum PRU-15.

Bagaimanapun, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, menyatakan status permohonan parti itu termasuk ‘Friends of BN’ yang lain masih diteliti, belum ada yang dimuktamadkan.

Setakat ini, BN sudah memutuskan bergerak solo dalam PRU-15, di samping membentuk kerjasama pilihan raya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula dilihat sebagai ‘proksi’ tetapnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad yang dihubungi pula tidak memberi gambaran pasti, sebaliknya memaklumkan parti itu akan memuktamadkan beberapa perkara sebelum hari penamaan calon.

“Akan ada perbincangan susulan. Maknanya sebelum hari penamaan calon kita akan ‘finalise’ beberapa perkara. Sahihnya, Datuk Zuraida akan kekal bertanding mempertahankan kemenangan di Parlimen Ampang,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hizwan juga berkata, PBM kekal dengan komitmennya sebelum ini untuk bertanding di kawasan yang dimenangi penyandang mereka dalam PRU kali ini.

Selain Parlimen Ampang, kerusi lain adalah Kuala Langat, Segamat, Tebrau, Julau serta Lahad Datu.

Antara cabaran besar kepada kerjasama BN – PBM adalah isu agihan kerusi pilihan raya, memandangkan kawasan dituntut untuk ditandingi PBM adalah kerusi milik UMNO serta MIC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here