Majlis Syura sudah luluskan senarai calon Pas Sabah

0
247

SETIAUSAHA Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan memaklumkan, senarai calon yang dikemukakan Pas Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah diluluskan Majlis Syura Ulama Pas.

“Namun senarai kawasan Parlimen yang disasarkan masih dalam rundingan dan belum ditentukan lagi.

“Kita yakin ada kerusi-kerusi yang boleh menang dan gerak kerja Pas sudah turun kepada masyarakat.

“Bagaimanapun rundingan masih berjalan dengan semua pihak yang berkepentingan dan bersesuaian.

“Setiap kawasan dikehendaki menghantar tiga nama sebagai calon dan senarai kawasan masih dalam perundingan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di Sabah berkata, Pas Sabah kini telah bersiap siaga bagi menghadapi PRU-15.

“Gerak kerja Pas telah dijalankan dalam pelbagai aspek bagi menyantuni rakyat antaranya program-program kebajikan, pendidikan, kemasyarakatan dan dakwah dalam institusi kelompok masyarakat.

“Jentera pilihan raya di semua peringkat telah digerakkan dan bilik operasi juga telah digerakkan sepenuhnya. Jentera parti kini sudah bersedia untuk menghadapi PRU15,” katanya.

Sebelum itu, pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah 2020, Pas Sabah tidak bertanding dan membantu calon Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding sekali gus bersama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, pada PRU-15 Pas Sabah menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di beberapa kerusi termasuk di Parlimen Sepanggar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here