Sedar Pejuang lemah, punca Tun M ingin kerjasama dengan PH

0
183

TUN Dr. Mahathir Mohamad menawarkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas sedar parti diasaskannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak mempunyai kekuatan di kawasan pedalaman selain di bandar.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen berkata, hasrat Dr. Mahathir juga dilihat tidak memberi sebarang kelebihan kepada PH dan hanya menguntungkan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan Pejuang menjadi tunjang utama.

“Ini juga kerana kedua-dua parti itu mempunyai matlamat serta asas yang berbeza, sekali gus tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada gabungan berkenaan.

“Dr. Mahathir mahu bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas menyedari GTA berada pada kedudukan lemah untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) secara solo.

“Nampak jelas bahawa Pejuang memang ada isu. Dia kurang kuat, ada masalah di pedalaman dan di kawasan bandar.

“Contohnya di (pilihan raya negeri) Johor, Pejuang tak dapat lima peratus pun undi. Dr. Mahathir memang dia strategis, jadi dia buat tawaran (kerjasama). Tapi ini memang tawaran berpolitik.

“Kita sokong keputusan Anwar. Ramai anggota parti pun memang tak suka bergabung dengan Dr. Mahathir. Matlamat kita berbeza kerana dia parti perkauman dan kita parti pelbagai kaum, jadi asasnya dah berlainan,” lapor Berita Harian.

Wong sebelum ini dilaporkan, berkata politik gabungan adalah lebih baik untuk Malaysia, berbanding penguasaan dominan satu parti pelbagai kaum, kerana ia lebih bermanfaat untuk demokrasi.

Ditanya sama ada keputusan menolak kerjasama dengan GTA bakal memberi kesan kepada peluang PH untuk menang dalam PRU-15, Wong berpendapat bahawa GTA tidak mampu menyumbang tambahan undi kepada PH.

Jelasanya, ini berikutan rakyat yang menyokong GTA lebih cenderung kepada politik perkauman dan undi itu hanya akan berputar sekitar parti yang memperjuangkan perkara sama, iaitu UMNO dan Bersatu.

“UMNO itu parti hak Melayu. Bersatu pun lebih kurang sama, Pejuang pun sama. Undi orang yang menyokong Pejuang tak akan pergi kepada PH.

“Dia akan pergi kepada UMNO, Bersatu. Jadi dari segi perkiraan matematik, apakah logiknya kita bekerjasama? Undi penyokong dia tak berpindah kepada PH. Jadi pendirian parti betul,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here