PRU-15: Calon PN akan tandatangani akujanji tolak rasuah

0
261

SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menandatangani akujanji dan lafaz ikrar menolak rasuah.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata akujanji dan lafaz ikrar itu tanda komitmen calon yang mewakili PN supaya tidak melanggar akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkara ini sudah dipraktikkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Melaka dan akan diteruskan pada PRU15.

“Semua calon akan angkat sumpah lafaz ikrar dengan nama Allah bahawa mereka komited menentang dan tidak akan membuat sesuatu yang menyalahi akta SPRM,” katanya, lapor BH Online

Beliau berkata demikian pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, pada Jumaat.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, perkara itu adalah antara janji PN dalam memastikan semua calon mempunyai integriti yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, PN sudah membuat segala persiapan bagi berdepan PRU15 pada 19 November nanti.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk meramalkan jangkaan kerusi Parlimen yang akan diperoleh PN.

“Apabila kita hadapi hari penamaan calon, kita akan melihat perkembangan sama ada calon berkenaan diterima rakyat atau sebaliknya.

“Kita berharap rakyat menerima baik calon PN pada PRU15 nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here