Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

0
355

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

ISYTIHAR barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, taktik licik satu sindiket penyeludupan itu yang cuba membawa barang seludup menggunakan kontena tersebut berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

Barangan dagangan dari Vietnam itu kemudian berjaya dirampas dalam serbuan serta pemeriksaan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT) pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, ketika serbuan lima individu didapati sedang memunggah barang dagangan itu dari sebuah kontena.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menjumpai dua buah lori ‘bonded’ yang di dalamnya disorokkan 13.58 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.

Turut dijumpai ujar beliau, sebanyak 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai RM195,466.75) manakala tujuh karton atau 280 peket mercun yang bernilai RM1,120 (nilai cukai RM728).

“Semua barangan ini dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

Tambah beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.

Selain itu katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

Dalam pasa itu, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here