Anwar tiada masalah jumpa Tun M, bincang kerjasama politik

0
326

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bertemu dan berbincang dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun Anwar berkata perkara yang ditekankan PH ialah berkenaan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Tiada masalah. Boleh jumpa. Boleh bincang, tetapi selalu saya tekankan mengapa nak lawan PN atau BN. Atas dasar (lawan) iaitu tolak rasuah, perkauman dan fahaman melampau. Kalau itu yang diminta, saya tiada masalah,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan di Little India Klang di Jalan Tengku Kelana, Klang, Selangor hari ini.

Media hari ini melaporkan Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), bersedia untuk bertemu Anwar bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.

Sementara itu, mengulas persediaan beliau sebagai calon Ahli Parlimen Tambun dan sasaran PH di Perak, Anwar berkata negeri itu menjadi antara kawasan akan ditawan PH dalam PRU15.

Mengulas kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang meletakkan beliau sebagai antara pemimpin yang mampu meneraju negara, Anwar menzahirkan ucapan terima kasih kerana kenyataan Musa itu membantunya dalam berkempen.

“Kenyataan Tun Musa itu membantu. (Musa berkata) layak dan ada pendedahan peringkat antarabangsa. Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Musa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Anwar, disifatkan sebagai pemimpin yang mampu menerajui negara ini.

Musa ketika menggariskan nama terbabit berkata, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma, dalam memimpin negara mengharungi cabaran kini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here