PRU-15: Saifuddin sedia pertahan kerusi Indera Mahkota

0
274

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu bergantung kepada kepemimpinan tertinggi.

“Saya sememangnya bersedia jika dicalonkan bertanding bagi meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan itu.

“Sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan, saya menyerahkan kepada Perdana Menteri yang dipilih ketika itu untuk meletakkan mana-mana calon yang layak di peringkat Kabinet.

“Kita tak boleh tempah mana-mana jawatan dalam Kabinet atau kembali semula ke kementerian yang pernah diterajui (Kementerian Luar) sebelum ini,” katanya selepas menyambut kepulangan rakyat Malaysia, Azhar Mohamad, 37, yang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan akibat strok bahagian kanan badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Pada PRU-14, Saifuddin memenangi kerusi Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR, sebelum keluar parti itu dan menyertai Bersatu.

Saifuddin berkata, setakat ini tiada siapa yang tahu akan menjadi calon dan ia bergantung kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

“Jentera PN di Indera Mahkota sudah bersiap siaga dengan kerjasama Bersatu, Pas dan Gerakan, termasuk beberapa siri mesyuarat jentera pilihan raya yang diadakan secara baik.

“Melihat kepada sokongan pengundi di Indera Mahkota kepada PN, saya berpandangan peluang untuk memenangi kerusi Parlimen ini adalah cerah,” katanya memetik laporan BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here