Muhammad Nur Aiman kekal pertahan gelaran Raja Bukit LTdL 2022

0
232

PELUMBA Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff membuktikan beliau berada di kelas tersendiri selepas mempertahankan gelaran Raja Bukit pada perlumbaan terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Pada perlumbaan sejauh 115.9 kilometer (km) mengelilingi Pekan Kuah itu, pelumba berusia 25 tahun itu meraih gelaran Raja Bukit selepas mengungguli tujuh daripada lapan peringkat LTdL edisi kali ini dengan mengumpul 29 mata secara keseluruhan.

Pelumba Terengganu itu memegang jersi merah sejak peringkat kedua perlumbaan dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan ke Raub, Pahang, sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2020 bersama Team Sapura Cycling (TSC).

“Syukur alhamdulillah saya dapat kekal jersi ini buat kali kedua berturut-turut dan mempertahankannya sejak di peringkat kedua sampai terakhir, di mana ketika itu pelbagai halangan perlu ditempuh.

“Ini satu sejarah pelumba Malaysia berjaya meraih jersi merah dua kali berturut-turut tatkala saingan kali ini sangat bermakna dengan kehadiran enam pasukan Jelajah Dunia tapi saya masih boleh buat sesuatu di laman sendiri,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Nur Aiman merupakan pelumba Malaysia pertama bergelar Raja Bukit sejak penganjuran kali pertama LTdL pada 1996.

Terdahulu, TSG memenangi jersi putih (Pelumba Terbaik Asia) menerusi Jambaljamts Sainbayar, selain dinobatkan sebagai pasukan Terbaik Asia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here