Hadi dilantik Duta Khas oleh PM kerana kemampuan, Takiyuddin jawab dakwaan Razlan

0
306

TIADA sebab kenapa pelantikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dipertikaikan, tegas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ini kerana, kata Setiausaha Agung Pas itu, pelantikan Abdul Hadi yang dibuat oleh Perdana Menteri adalah bersandarkan kemampuan pemimpin berkenaan.

Kenyataan Takiyuddin itu sebagai menjawab dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii yang menyifatkan Abdul Hadi tidak mampu menggalas jawatan yang diamanahkan.

Menurut Takiyuddin, pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas bertaraf menteri berdasarkan kelayakan dan latar belakangnya dalam bidang syariah dan sains politik, menurut laporan Astro AWANI.

“Bagi saya beliau (Abdul Hadi) telah dilantik mengikut kemampuan dia. Saya yakin yang melantik dia adalah Perdana Menteri. Jadi, Perdana Menteri menilai dia yang boleh buat kerja.

“Banyak sebenarnya sumbangan dia melalui kerja-kerjanya terutamanya hubungan dengan negara-negara Islam, negara- negara Timur Tengah dan sebagainya. Dakwaan itu tak patut dan dipertikaikan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB), di bangunan TNB, di Kota Bharu pada Selasa.

Mohd Razlan sebelum ini mendakwa, kerajaan terpaksa memberi jawatan berstatus menteri kepada Abdul Hadi demi mendapatkan sokongan parti Islam itu.

Dalam satu laporan yang disiarkan di portal Malaysiakini, Mohd Razlan berkata, percaturan politik yang dibuat kerajaan menerusi hubungan dengan Pas itu semata-mata untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Kamu bayangkan, seorang yang berjawatan presiden parti, tidak mampu bekerja untuk negara tetapi terpaksa diberi tempat disebabkan dia presiden parti. Seperti Hadi Awang. Beliau terpaksa diberi tempat berjawatan bertaraf menteri disebabkan pencaturan politik,” dakwa Mohd Razlan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here