PRU-15: Azmin yakin anak muda, pengundi baharu sokong PN

0
183

PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin anak muda yang menjadi pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang akan memberi sokongan kepada gabungan itu.

Ini kerana katanya, kalangan anak muda telah menerima pelbagai manfaat daripada Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Penglibatan pengundi baharu khususnya dalam kalangan anak-anak muda yang menerima pelbagai manfaat besar daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin diyakini akan mendorong kejayaan PN.

“Kita cuba sedaya upaya untuk cipta pekerjaan untuk mereka dan saya yakin dengan penglibatan pengundi-pengundi ini, Insya-Allah PN akan mencapai kemenangan, termasuk Parlimen Gombak akan kekal kerusi PN,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak berkata Malaysia adalah negara demokrasi dan mana-mana pihak serta parti politik boleh menyertai pilihan raya yang diadakan.

Sambil meminya pemilih untuk keluar mengundi dan membuat keputusan tepat demi masa depan mereka dan generasi akan datang, Azmin berkata dalam pilihan raya, kuasa di tangan rakyat.

“Ini proses demokrasi, mana-mana parti boleh sertai pilihan raya. Akhirnya yang menentukan kemenangan adalah rakyat. Kuasa di tangan mereka,” katanya kepada media ketika ditemui pada Sambutan Hari Miti 2022 di Taman Melawati yang terletak dalam kawasan Parlimen Gombak di Selangor, pada Ahad.

Mengenai siapa yang akan bertanding di kerusi Parlimen yang disandangnya itu, Azmin yakin PN mampu mempertahankan kerusi itu pada PRU-15 nanti.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata pengundi di Parlimen itu pastinya akan membuat keputusan bijak memilih calon yang layak dan berupaya membawa suara rakyat.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Presiden Bersatu (untuk meletak calon di Gombak),” katanya yang turut yakin rekod perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di Parlimen itu juga akan menjadi cerminan pengundi untuk membuat pilihan.

“Saya serahkan kepada rakyat Gombak, tetapi saya yakin mereka mengenali saya sekian lama. Mereka melihat bagaimana apabila saya diberi tanggungjawab besar,” lapor Agendadaily.

Pada PRU-14, Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak mewakili PKR dengan meraih 75,113 undi, menewaskan calon UMNO yang memperoleh 26,392 undi, manakala PAS sebanyak 17,537 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here