Berbalah isu harta punca adik bakar kereta abang

0
219

PEMANDU lori ditangkap kerana membakar kereta abang kandungnya sendiri dekat Taman Sri Watan, Ampang, semalam dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung isu harta.

Polis pada awalnya menerima laporan kejadian itu daripada pihak bomba pada jam 6.19 petang, kelmarin dan siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kebakaran membabitkan kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di hadapan sebuah rumah.

“Terdapat kesan terbakar pada sebelah kiri dan kanan badan serta bahagian enjin kenderaan terbabit dan siasatan lanjut menemui satu tong biru dengan kesan minyak dipercayai digunakan suspek sewaktu kejadian.

“Pemilik kereta adalah seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, lapor BH Online.

Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga adik kandung mangsa di Lorong Ikan Emas 14, Ampang Campuran, Ampang pada jam 5.40 petang, semalam.

“Suspek juga bekerja sebagai pemandu lori dan semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah. Ujian saringan awal air kencing pula negatif dadah.

“Hasil soal siasat mendapati kejadian ini berpunca daripada salah faham suspek dengan abang kandungnya dan dendam berkenaan isu harta keluarga,” katanya.

Tambah Mohamad Farouk, suspek direman tiga hari sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here