Sindiket campur cecair ketamin, perisa vape tumpas

0
252

POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket dadah menggunakan modus operandi mencampurkan cecair dadah ketamin dalam botol perisa vape.

Ia susulan penahanan tujuh individu berusia 25 hingga 34 tahun membabitkan enam lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia disyaki mendalangi sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah itu dalam empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Kelang, Khamis lalu.

Serbuan dijalankan di sekitar daerah Ampang, Wangsa Maju dan Petaling Jaya, turut merampas cecair ketamin dalam perisa vape seberat 104.16 liter, syabu seberat 27.56 gram (gm) dan 160 biji pil yaba seberat 32 gm.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kesemua dadah yang dirampas dijangka boleh digunakan 10,416 penagih dan hasil siasatan awal polis mendapati bahan terlarang itu adalah untuk pasaran tempatan.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati lima daripada tujuh suspek positif dadah dan enam memiliki rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah. Polis turut menyita sebuah kereta, dua motosikal serta wang tunai dan barang kemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Berita Harian.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman antara lima hingga tujuh hari bermula 14 Oktober dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dengan tertumpasnya sindiket itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan cecair vape yang bergiat aktif untuk pasaran tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here