“Walau sibuk hal politik, soal rakyat jangan lupa”- Muhyiddin

0
1220

RAKYAT harus diberikan keutamaan walaupun kebanyakan parti politik sibuk dengan persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun sibuk dengan siap siaga PRU15, dirinya masih menekan kerajaan dan agensi berkaitan berkenaan cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Saya menekankan kerisauan bahawa proses pemulihan negara kita masih lambat, tiada ‘sense of urgency’, seperti saya perkatakan dalam ucapan saya sebentar tadi, baik dalam kategori M40 atau B40, mengikut data saya kemukakan tadi amat besar peratusan dalam kategori B60 dari B40.

“Sesiapa sahaja yang mentadbir negara, itu ialah keutamaan utama. Kalau tak ambil langkah cepat, bila dah rentan, kualiti dan taraf hidup akan merosot dengan cepat, kesan kepada sosial akan lebih nyata,”

“Walaupun kita sibuk urusan politik, tapi soal negara jangan lupa, jangan lupa rakyat di bawah,” katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan disarankan mengambil cadangan MPN dengan lebih serius dan sekiranya bersesuaian, laksana pada kadar segera.

“Jumlah besar (cadangan) tidak dilaksanakan, macam saya Perdana Menteri dahulu, keputusan yang dibuat terus dilaksanakan, saya ambil perkara ini sebagai keutamaan pemulihan semua sektor. Cepat jangan lambat, bila arahan keluar mesti buat dalam seminggu, jangan tunggu berbulan.

“Kita dah buat cadangan tu tapi sebahagian besar tak dilaksana, kat ‘bawah’ tu dah tercungap-cungap dah nak banjir takde siapa tolong,” katanya.

Ditanya mengenai pimpinannya yang kelihatan lebih ‘cool’ dan tenang dalam ‘ribut’ PRU15, Muhyiddin berpendapat seorang pemimpin yang baik perlu mengetahui dan mendalami isu rakyat

“Saya tak boleh nak ajar pemimpin lain, mereka pandai juga tetapi dalam situasi luar biasa, kena ‘multi-tasking’, menjaga ekonomi, Covid-19, politik. Tentukan keutamaan, saya tahu orang susah takkan hari-hari saya nak berpolitik.

“Apa guna kuasa tanpa membantu rakyat? Sudah tentu PN ingin memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan tapi kita tidak boleh lupa kepada rakyat kerana setiap hari ada orang susah,” jelasnya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here