Pemandu lori mengaku salah pukul adik ipar, didenda RM3,000

0
187

SEORANG pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah memukul sehingga cedera adik iparnya menggunakan sebatang kayu.

M. Jagan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor, lapor Sinar Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan ‘soft tissue injury’ terhadap M. R. Livesh, 29, menggunakan sebatang kayu di Plaza Mahkota 11 di Melaka, kira-kira pukul 3.30 petang pada 31 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh telah menyesali kesalahan yang dilakukan.

Selain itu, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu polis hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara isteri serta tiga anaknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here