‘Hantar surat kepada Agong keputusan parti, ia normal’ – Hamzah

0
228

TINDAKAN 12 anggota Jemaah Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menyokong pembubaran Parlimen adalah berdasarkan keputusan parti.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu juga sama dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengikut keputusan parti untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

“Saya sudah pun menghantar dan tandatangan (surat), itu mengikut parti.

“Keputusan parti (PN) tidak mahu mengadakan pilihan raya dan Perdana Menteri selalu mengatakan “he is the party man.” Saya menghormati cara dia menjawab dan sebagai orang parti, kita mewakili parti.

“Saya sebagai orang parti pun kena (ikut) kehendak parti. Kalau parti kata tidak sesuai (diadakan PRU) sekarang, saya pun ikut sama (menyatakan) tidak sesuai,” kata Hamzah dalam sidang akhbar selepas menerima taklimat bencana seluruh negara di Bukit Aman, pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, Menteri Dalam Negeri itu berkata, adalah menjadi perkara biasa bagi mana-mana wakil parti untuk menghantar surat kepada sesiapa sahaja.

“Saya faham keadaan ini pun boleh berlaku sebab kita dah bincang dalam Kabinet bahawa ada kadang-kala kita terpaksa memikirkan tanggungjawab kita sebagai mewakili sesebuah parti.

“Mereka tiada pilihan sama juga dengan kedudukan Perdana Menteri sebab dia tiada pilihan apabila parti meminta melakukan sesuatu (pembubaran Parlimen),” katanya lagi seperti dilaporkan Astro AWANI.

Ditanya apakah ada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat jika berlaku banjir teruk, Hamzah menjawab: “Itu soalan yang saya tak sepatutnya jawab.”

Dalam masa sama, penyandang kerusi Parlimen Larut itu berkata, walaupun berbeza dari segi pendirian parti, mereka masih ‘berkawan’ sebagai satu Jemaah Kabinet.

“Kita masih lagi membincangkan perkara yang perlu dibincangkan dalam Kabinet.

“Kami semua kawan dan kita sudah cukup matang serta faham dengan keputusan masing-masing,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hamzah turut memberi bayangan bahawa beliau akan bertanding di Larut pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, mengenai pembahagian kerusi dalam Bersatu, kata beliau, masih dibincangkan melibatkan parti komponen PN.

“Jika kamu tanya saya, saya tahu (di mana kerusi yang akan ditandingi). Tetapi jika kamu bertanyakan yang lain, saya rasa kita masih dalam perbincangan dengan parti komponen.

“Semalam pun kita ada perbincangan kerana kita dalam menghadapi PRU, satu perkara ia kita perlu memastikan pemimpin-pemimpin semua komponen parti boleh menang di kawasan-kawasan yang mereka dicalonkan.

“Sebab itu kita perlu bertukar dari segi kedudukan kerusi, yang dulunya mungkin dimenangi oleh Bersatu, mungkin kali ini Pas perlukannya, begitulah sebaliknya,” katanya lagi.

PN diwakili oleh Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Progresif Sabah (SAPP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here