TINDAKAN 12 orang Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini hanyalah bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh, yang mana berkemungkinan berlaku banjir.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.
Menurutnya, PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.
“Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pahang baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Berita Bersatu pada Rabu.
Saifuddin berkata, beliau yakin rakyat mengetahui alasan sebenar mengapa Perdana Menteri mahu mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.
Ia tidak lain berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden UMNO.
Justeru, tambahnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu.