Suami isteri ditahan bersama 29 ketulan mampat ganja

0
244

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEPASANG suami isteri yang aktif mengedar dadah jenis ganja ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Malwira, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 11 malam, Rabu lalu.

Ketika ditahan, polis turut merampas sebanyak 29 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 30 kilogram (kg) bernilai RM75,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek masing-masing merupakan lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 32 dan 36 tahun itu didapati aktif mengedar dadah berkenaan sejak Mei tahun lalu.

Jelas beliau, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe, dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sebentuk cincin menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM103,270.

“Saringan air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah, namun salah seorang daripadanya memiliki satu rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula 5 Oktober lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1951. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here