PN tak gentar hadapi PRU, musim tengkujuh tidak sesuai: Muhyiddin

0
226

PERIKATAN Nasional (PN) tidak pernah gentar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) kerana persiapan telah dilakukan, tetapi berpendapat sekarang ini bukan waktu yang tepat untuk mengadakannya.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan ini menyedari bahawa keadaan ketika Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya dan pandangan itu telah dinyatakan.

“Bukan masa yang sesuai, bukan kerana kita (PN) takut menghadapi pilihan raya. Tapi kerana kita tahu masalah rakyat masih tertekan dan terkesan waktu mana kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang sampai hari ni belum selesai.

“Telah pun disebutkan oleh Menteri Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa musim tengkujuh belaku hujan yang banyak,” katanya berucap pada pelancaran PN Pahang, malam tadi (10 Oktober 2022).

Pada hal, kata Muhyiddin pilihan raya masih boleh ditangguhkan lagi sehingga ke tahun hadapan, setelah banjir dan masalah musim tengkujuh dapat diselesaikan.

“Tapi perkara ini (pembubaran Parlimen) sudah pun berlaku. Tapi iyalah… sistem kita ialah kerana kita ada Perlembagaan… bila Agong setuju dengan permintaan Perdana Menteri, maka bubarlah (Parlimen).

“Dan pihak yang membawa hal-hal sebegini tidak lain tidak bukan ialah UMNO yang menekan Perdana Menteri minta supaya segera diadakan pilihan raya… tadi dah disebutkan mungkin ada sebab-sebab… kita tahu kenapa dia buat begitu.

Menurut Muhyiddin lagi UMNO mahukan PRU-15 diadakan pada musim hujan dan banjir kerana peratusan yang akan keluar mengundi pasti terjejas dan pada perkiraan parti itu mereka akan menang mudah.

Bekas Perdana Menteri itu berasakan setelah UMNO dan BN menang dan menguasai kerajaan maka mudah bagi mereka untuk menyelamatkan individu parti itu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Kalau diadakan pilihan raya, waktu kita berhadapan dengan masalah dan juga banjir, peratusan keluar mengundi pasti terjejas… mungkin tak sampai 60 peratus pada kiraan mereka. Kalau begitu mungkin UMNO dan Barisan Nasional mudah menang.

“Dan kalau menang, maka dia menguasai kerajaan… Perdana Menteri daripada dia (UMNO)… mungkin dia sebab dia ada kuasa, dia boleh main apa sahaja peranan untuk menentukan mereka-mereka yang sekarang ini sudah berada dalam Kluster Mahkamah, terselamat,” katanya lagi.

Oleh itu, Muhyiddin berkata PRU yang diadakan ini adalah kerana pertimbangan nafsu untuk diri sendiri bukannya demi kebajikan rakyat.

“Soal kebajikan tidak diambil kira langsung. Tapi tidak mengapa… kita terpaksa tanggung beban. Namun persoalannya siapa yang akan menjadi pilihan pengundi.

“Adakah rakyat akan memilih UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi?,” katanya menambah setelah apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN yang mencuri dan merompak wang negara dan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here