‘Jangan jadi tolo’, hati-hati parti politik sanggup gadai prinsip demi kuasa – Ahmad Faizal

0
249

PARTI-parti komponen Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sikap bermuka-muka parti politik tertentu yang sanggup menggadai prinsip demi memastikan mereka berkuasa.

Pengerusi PN Perak, Datu Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bukan sekadar prinsip, demi kuasa mereka juga sanggup bersekongkol dengan musuh lama.

“Jangan jadi tolo. Ya kita memang hendak perpaduan ummah, kita memang nak Melayu bersatu, tingkatkan syiar Islam, jaga kedaulatan negara tetapi bukan dengan menggadai prinsip. Hanya kerana hendak berkuasa sanggup buat apa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Kangsar pada Ahad.

Peringatan Ahmad Faizal itu dipercayai merujuk kepada peristiwa UMNO Perak bersekongkol dengan DAP Perak bagi menjatuhkannya sebagai Menteri Besar Perak.

“Jika UMNO tidak bekerjasama dengan DAP, bolehkah saya dijatuhkan,” katanya.

Dalam ucapan itu Ahmad Faizal menyentuh kembali isu pemberian status hak milik kekal kepada Kampung Baru Cina yang antara lain menjadi punca gerakan menjatuhkannya sebagai Menteri Besar.

“Ada individu yang digelar pakar perlembagaan bagi tahu saya perkara itu (pemberian status hak milik kekal kepada Kampung Baru Cina) perlu ditunaikan sebab ada dalam manifesto Pakatan Harapan, tetapi perkara itu dimasukkan ke dalam manifesto oleh pemimpin DAP tanpa kelulusan daripada parti Bersatu dan Amanah,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, rakyat perlu memberi peluang kepada PN memerintah kerana PN mengamalkan politik perkhidmatan, prihatin kepada rakyat, politik kasih sayang iaitu tidak mahu bergaduh dengan orang lain.

“Orang dah nampak dan mereka gembira kepimpinan Bersatu, Pas, Gerakan yang tidak henti-henti bagi perkhidmatan bantu rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here