22 bulan PH tadbir tidak seperti yang dicanangkan sebelum jadi kerajaan

0
260

BEKAS Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Hilman Idham menolak tuduhan beliau pengkhianat selepas bersama sekumpulan bekas pemimpin parti itu dalam Langkah Sheraton.

Muhammad Hilman yang juga ADUN BERSATU Gombak Setia berkata, beliau juga tidak pernah melompat parti sebagaimana didakwa oleh pemimpin PKR, sebaliknya menyertai BERSATU selepas dipecat.

“Selepas itu, saya digelar pengkhianat. Saya tidak takut digelar pengkhianat. Saya ada prinsip dan integriti.

“Saya berhijrah ke BERSATU disebabkan hendak selamatkan rakyat dan negara kerana kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir tidak seperti yang dicanangkan sebelum jadi kerajaan.

“Saya tahu, sebab saya bersama kerajaan PH selama itu. Kelakuan dan tindak tanduk PH dalam kerajaan dan di luar kerajaan sangat berbeza, malah lebih dahsyat daripada kerajaan UMNO, Barisan Nasional (BN),” katanya lapor Berita Bersatu.

Beliau berkata demikian berucap pada Persidangan Agung Tahunan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda BERSATU Bahagian Gombak, di sini pada Sabtu.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhammad Hilman juga tidak gentar dengan ura-ura Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas mengenai tindak tanduk kerajaan PH, beliau menjelaskan sebaik menang, kerajaan itu tidak memberi keadilan kepada rakyat, sebaliknya mentadbir secara rakus dengan orang Melayu dan Islam dilihat seperti ditindas.

Katanya, itulah punca beberapa pemimpin PKR dan PH bertindak berhijrah ke BERSATU, hanya kerana hendak menyelamatkan rakyat dan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here