Terkenal dengan jolokan Robert Solo, pencuri warga emas ditangkap

0
297

PASANG kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat pelanggan dan mengenal pasti selok belok ruangan dalam bangunan selama beberapa bulan.

Itu taktik licik seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan CCTV untuk memecah masuk ke sebuah pejabat dan mencuri barangan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, suspek yang terkenal dengan jolokan Robert Solo itu telah berjaya ditahan pada Selasa lalu di Daerah Ampang.

Jelas beliau, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kejadian pecah pejabat di Setiawalk Puchong pada 16 September lalu.

“Hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang dan Balai Polis Puchong Jaya telah berjaya menangkap suspek pada 4 Oktober.

“Suspek berasal dari Perak dan menetap di Ampang, Selangor itu bekerja sebagai juruteknik pemasangan CCTV dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau.

“Suspek juga pernah menjalani hukuman penjara tujuh hari bagi satu kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada 2018 manakala bagi kes-kes lain suspek dihukum dengan bayar denda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, soal siasat polis telah berjaya menemukan pelbagai barangan berharga yang disyaki hasil kegiatan pecah pejabat di kawasan Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Katanya, antara barangan yang ditemukan adalah pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, drone dan alat permainan video.

Jelas Anbalagan, nilai rampasan barangan itu dianggarkan kira-kira RM180,000.

“Suspek pernah ditugaskan untuk memasang CCTV di pejabat mangsa dan selepas mengenal pasti selok-belok bangunan, dia akan datang semula untuk melakukan kegiatan pecah pejabat dalam masa satu atau dua bulan.

“Kegiatan ini dilakukan pada waktu siang hari ketika cuti umum atau hujung minggu ketika pejabat tidak beroperasi.

“Suspek masuk ke dalam pejabat dengan mengumpil pintu kecemasan di bahagian belakang,” katanya, lapor Utusan TV.

Anbalagan berkata, suspek didapati bergiat aktif dalam kegiatan pecah pejabat di sekitar kawasan Lembah Klang melibatkan beberapa daerah seperti Serdang, Petaling Jaya, Brickfield, Sentul dan Shah Alam.

Katanya, dengan kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes kejadian pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan direman selama tujuh hari sehingga 11 Oktober ini.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh lima hingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here