PRU15: Isu 27 kerusi kritikal dibincangkan mesyuarat PN hari ini

0
330

ISU pembahagian 27 kerusi kritikal Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ialah antara perkara disentuh dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN), pada Khamis.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata parti itu berharap masih ada ruang berunding dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi kritikal antara Barisan Nasional (BN) dengan PN kerana situasi berkenaan akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketika ditemui selepas mesyuarat PN pula, Tuan Ibrahim memaklumkan, isu mengenai 27 kerusi terbabit turut dibincangkan pada hari ini tetapi belum diperincikan, setakat ini.

“Kita juga berbincang mengenai beberapa kerusi yang difikirkan perlu duduk (berunding) dan ada permuafakatan untuk mengelak kerusi itu daripada jatuh ke tangan PH.

“Setakat ini, kita belum memuktamadkannya lagi. Kita ada jawatankuasa yang akan membuat pelaporan. Kita akan membentangkan perinciannya nanti.

“Ya, (perbincangan) termasuk (isu 27 kerusi kritikal). Namun, ia pada peringkat perbincangan. Perinciannya akan kita angkat kemudian kepada parti,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PN, di sini, hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, dilaporkan berkata rundingan bagi memastikan UMNO dan PAS tidak bertembung di 27 kerusi Parlimen pada PRU15, telah selesai pada peringkat akar umbi yang dikatakan menyambut baik.

Difahamkan, 27 kerusi kritikal itu membabitkan 20 kerusi Parlimen majoriti Melayu yang dimenangi PH pada PRU14, serta tujuh lagi yang menyaksikan PH kalah tipis.

Ditanya sama ada mesyuarat hari ini menyentuh mengenai pendirian PAS berhubung isu memilih PN atau UMNO untuk bekerjasama pada PRU15, Tuan Ibrahim menegaskan, perkara itu tidak berbangkit.

“Tidak ada (isu) pilihan. Kita sebahagian daripada PN… PAS komponen PN. Saya fikir tidak ada isu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sesi hari ini adalah mesyuarat biasa yang diadakan setiap bulan antara pimpinan parti terbabit.

“Mesyuarat hari ini membabitkan pelaporan pelbagai unit. Kita juga berbincang mengenai persiapan pilihan raya seperti manifesto, jawatankuasa pembahagian kerusi serta pelaporan awal jawatankuasa,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here