Pas Terengganu bertegas tak mahu bubar DUN

0
254

PAS Terengganu bertegas tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut masih konsisten berdasarkan kepada keputusan pucuk pimpinan parti sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu juga membabitkan dua lagi negeri yang diperintah Pas iaitu Kelantan dan Kedah.

Katanya, Pas sebelum ini berpendapat bahawa tiada keperluan untuk membubarkan DUN walaupun Parlimen dibubarkan pada tahun ini.

“Kenapa kita nak bubar (DUN) tak ada sebab nyata kenapa kita nak bubar,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Negeri Terengganu di Kampung Seberang Takir di sini, hari ini seperti dilaporkan.

Media hari ini melaporkan tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memberi laluan kepada pemimpin di negeri itu untuk fokus kepada kebajikan rakyat yang kini menghadapi banjir.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, keputusan rasmi berhubung pembubaran DUN di tiga negeri terbabit sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat akan dibincangkan pada mesyuarat Pas Pusat, Sabtu ini. 

“Kita tengoklah macam mana, maknanya akan dimuktamadkan pada hari Sabtu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pas masih tetap mahu berunding dengan UMNO Pusat dalam usaha untuk memastikan tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu walaupun PRU15 semakin hampir.

Jelasnya, kedua-dua parti itu perlu membuka pintu rundingan dalam persediaan bertanding dengan Pakatan Harapan (PH).

“Itu yang lebih baik, paling ideal maksud perpaduan secara menyeluruh, bukan Terengganu sahaja, tapi seluruh negara jadi sama ada boleh capai atau tak tengok sehingga titik noktah yang terakhir. 

“Saya rasa UMNO Terengganu masih tertakluk kepada UMNO Pusat. perundingan tak buat dengan UMNO Terengganu tapi dengan (UMNO) Pusat,” ujarnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here