Culik guna Vellfire putih: Tiga penganggur ditahan, tiga lagi dituduh

0
233

TIGA orang penganggur yang dipercayai terlibat dalam insiden menculik seorang ahli perniagaan dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, ditahan polis pada pukul 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, suspek masing-masing warga tempatan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya.

“Suspek berusia 55 tahun mempunyai 14 rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek berusia 26 tahun mempunyai satu rekod jenayah.

“Suspek berusia 53 tahun pula tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas beberapa helai pakaian, telefon bimbit suspek dan sebuah kenderaan Toyota Camry yang digunakan semasa kejadian.

Jelasnya, hasil saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah dan ditahan reman sehingga Sabtu.

Sementara itu, tiga suspek yang ditangkap sebelum ini telah dituduh dibawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM4,000 setiap seorang,” ujarnya, lapor Utusan TV.

Mohamad Farouk berkata, seorang suspek mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan diberi jaminan RM2,500.

Katanya, tarikh sebutan semula perbicaraan kes pada 14 Disember ini.

Terdahulu, Warta Rakyat melaporkan mangsa telah diculik sekumpulan lelaki dipercayai berpunca kerana masalah hutang.

Mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya selepas dilepaskan suspek di kawasan Klang dan mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here