PRU15: Negeri Sembilan mungkin tidak bubar DUN

0
337

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini membayangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata setakat ini pihaknya belum membuat keputusan mengenainya walaupun Negeri Sembilan bersedia dari segi jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU15 di kerusi Parlimen.

“Peringkat DUN, saya belum membuat keputusan lagi, kerana saya perlu mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan yang lain di Selangor dan Pulau Pinang selain keputusan yang dibuat di negeri-negeri lain.

“Ini bermakna berkemungkinan kita akan buat berasingan (pilihan raya peringkat DUN), namun kita juga akan melihat keadaan kerana masih ada masa lagi dan saya pun tidak mahu pihak tertentu mengatakan saya takut hilang jawatan,” katanya pada sidang media di Seremban hari ini, memetik laporan BH Online.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Usahawan Kotej Halal di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Abd Malek dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk MohdZaidi Ramli.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, berkata beliau mengulangi pendirian sebelum ini bahawa ketika ini tidak sesuai diadakan PRU15.

Menurutnya negara diramalkan akan berhadapan dengan musim hujan dan kemungkinan akan berlaku banjir.

“Bagaimanapun sekiranya dibubarkan juga (Dewan Rakyat), terpaksa bekerjalah dan dalam keadaan banjir, langkah pertama ialah mesti mengutamakan (keselamatan) rakyat, kedua hal pilihan raya iaitu urusan keluar mengundi.

“Semalam pun, ada berlaku banjir di beberapa kawasan di Kuala Pilah dan bagi kita itu adalah amaran.

“Ini sebenarnya yang harus difikirkan, memilih masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya,” katanya.

Aminuddin mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang membuat ketetapan PRU15 akan diadakan pada tahun ini.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan negeri yang ditadbir pembangkang sama ada mengadakan pilihan raya serentak atau sebaliknya akan ditentukan Majlis Presiden PH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here