Bubar Parlimen dalam tempoh terdekat tidak wajar, tak perlu disegerakan – Abdul Hadi

0
192

PAS berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

“PAS tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

“Bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Abdul Hadi berkata demikian selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Seri Paduka Baginda bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.

Ini susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Dalam pada itu, PAS menegaskan dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan.

“Kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here