Nak kerjasama jangan letak syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ – Tuan Ibrahim

0
312

KEPEMIMPINAN Pas ternyata tidak senang dengan kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap memberi kata dua kepada parti itu jika mahu bekerjasama dengan UMNO.

Presiden UMNO tersebut sebelum ini mengemukakan tiga syarat tersebut iaitu Pas mesti keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

Dan malam tadi, pada sidang media selepas Ceramah Jentera Pas Selangor yang disiarkan secara atas talian, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan UMNO supaya tidak meletakkan syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama.

Beliau menegaskan, jika UMNO meleletakkan syarat “berat” itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama.

“Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata,  Pas akan bertemu dengan kepimpinan UMNO bagi mengadakan perbincangan berhubung syarat terbabit.

“Jadi dalam konteks kerangka muafakat ini kita ada masa untuk bincang saya suka cari titik persamaan, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik,” katanya lapor portal FMT.

Ditanya, bila pertemuan itu akan berlangsung, Tuan Ibrahim berkata “masa belum boleh beri tahu lagi”, sambil menambah pemimpin Pas dan UMNO sentiasa berhubung memandangkan mereka berada dalam kerajaan persekutuan.

Mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga, Tuan Ibrahim menegaskan, ia tidak sesuai.

“Saya dah sebut kita masih ada masa, tempoh masa masih panjang, sekiranya dalam situasi tak stabil, kita tak tahu banjir tak banjir tapi kemungkinan. Biasa bula November, Disember berlaku banjir, oleh kerana kalau waktu itu kita adakan PRU, saya kira tak sesuai.

“Kabinet akan bincang, dan Perdana Menteri akan maklum kerana kita anggota Kabinet bersama dari semua parti, bila dia nak bubar walaupun hak prerogatif Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bila tarikh dicadangkan, terpulang pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here