Pas Terengganu sedia bertembung mana-mana parti politik termasuk BN, UMNO

0
426

PAS Terengganu bersedia untuk bertembung dengan mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Hanafiah Mat, berkata pertembungan itu tidak dapat dielakkan sekiranya BN tetap tegas dengan pendirian untuk bergerak solo.

“Kita bersedia menghadapi siapa pun musuh yang akan bertanding dengan kita selain daripada PH (Pakatan Harapan) kalau BN sanggup bertembung dengan kita, insya-Allah kita akan lawan dengan sekuat-kuatnya.

“Kita yakin hari ini seluruh rakyat negeri Terengganu yang kita jumpa semua memberi kepercayaan dan menaruh harapan Pas memerintah selepas PRU-15 kerana rakyat sangat puas hati dengan apa yang Pas lakukan (sepanjang memerintah).

“Insya-Allah, Pas Terengganu akan mempertahankan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam Parlimen yang dimenangi pada PRU sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, semalam.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, PAS juga masih berusaha untuk mempertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama yang terjalin menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Kita patuh kepada Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) (yang mana) Presiden menyatakan kita masih mahu bersama MN kerana kita mahu negara diperintah oleh orang Melayu.

“Jadi setakat ini, kita masih mempertahankan MN, terpulang kepada pimpinan negeri Terengganu,” katanya memetik BH Online.

UMNO Terengganu sebelum ini memutuskan untuk bergerak solo dan sedia bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dalam PRU-15.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berikutan tidak berlaku sebarang kerjasama dalam MN di Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here