Op Kontraban; 2 juta batang rokok seludup bernilai RM2.08j dirampas

0
217

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEBANYAK dua juta batang rokok seludup bernilai RM2.08 juta dirampas dalam serbuan Op Kontraban di dua buah gudang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Isnin lalu.

Dalam operasi pukul 6.30 pagi itu, empat lelaki warga tempatan berasal dari Selangor berusia 40 hingga 55 tahun yang bekerja sebagai penjaga gudang dan pemandu lori turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis bertindak menyerbu gudang di kawasan Perindustrian Ringan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam dan Taman IKS Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

Dalam serbuan itu tambah beliau, pihaknya berjaya merampas 198 kotak mengandungi 9,990 karton rokok seludup yang kesemuanya bernilai RM764,000 dengan nilai keseluruhan cukai dianggarkan RM1.32 juta.

“Sindiket ini didapati aktif sejak setahun lalu dan mengedarkan rokok seludup tersebut ke premis-premis di Seberang Perai.

“Mereka dipercayai mendapatkan bekalan rokok seludup dari Lembah Klang dan dibawa ke gudang penyimpanan di Pulau Pinang dengan menggunakan lori sebelum diedarkan.

“Lori itu akan berhenti 300 meter hingga 500 meter dari gudang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa sebelum diambil pihak lain menggunakan kereta untuk disimpan di gudang-gudang ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, dalam operasi sama polis turut merampas sebuah lori dan empat buah kereta yang kesemuanya bernilai RM236,000.

Katanya, kesemua suspek kini direman selama 14 hari sehingga 11 Oktober depan bagi membantu siasatan dibawah 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily memaklumkan, sebanyak 282 laporan polis melibatkan kes samun diterima polis Pulau Pinang sepanjang Januari hingga September lalu yang mana 82 daripadanya merupakan laporan palsu.

Daripada jumlah itu katanya, 52 laporan palsu membabitkan kehilangan kad pengenalan; salah guna wang (10); tuntutan insuran dan perselisihan faham keluarga (5); hilang pasport atau kad UNHCR (4); mengelak membayar hutang (3); serta masing-masing satu bagi kes cemburu, fitnah dan ponteng kerja.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu yang mana boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here