Bicara tuntutan harta sepencarian RM1 bilion balu Allahyarham Jamaludin Jarjis 1 Nov

0
260

PERBICARAAN kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion yang difailkan Puan Sri Kalsom Ismail, balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis terhadap empat anak dan ibu mentuanya akan bermula 1 Nov di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah Abdullah sebagai defendan.

Peguam Syarie Farhan Haziq Mohamed yang mewakili Aminah selaku defendan kelima, berkata Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid menetapkan perbicaraan pada November iaitu 1, 14, 28, 29 dan 30.

“Setakat ini, pihak-pihak masih belum memutuskan saksi yang akan memberikan keterangan pada perbicaraan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, kesemua defendan telah memfailkan pernyataan pembelaan, namun plaintif masih belum memfailkan jawapan balas kepada pernyataan pembelaan itu.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula April lepas, namun ditangguhkan berikutan Kalsom mengemukakan permohonan untuk meminda pernyataan tuntutannya.

Pada 28 Ogos lepas, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here