PRU15: Saya tidak tahu-menahu, dirunding mengenai bila pembubaran Parlimen – Azhar Harun

0
74

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegaskan, beliau tidak terlibat mahupun tahu mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Dalam masa sama, jelasnya, beliau langsung tidak terbabit dalam perbincangan mengenai tarikh penting bagi negara itu.

“Saya tidak terlibat, jadi saya tidak tahu-menahu dan saya tidak akan dirunding pun. Saya tidak dengar apa lagi. Ia tidak ada notis sebab pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Agong.

“Sekiranya dinasihati berbuat demikian, Agong mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undangnya dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada media semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di bangunan Parlimen, lapor Astro AWANI.

Malah beliau juga tidak boleh mengulas mengenai polemik yang timbul iaitu sama ada kuasa pembubaran itu terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri atau Kabinet.

“Sekarang saya baca di berita, terdapat polemik sama ada kuasa itu kuasa Perdana Menteri sahaja, atau ia mesti mempunyai keputusan Kabinet. Itu sedikit polemik, saya pun tidak ada jawapan kepada polemik tersebut,” ujarnya.

Ditanya sama ada Bajet 2023 bakal mengulangi sejarah tahun 1999, di mana belanjawan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir ketika itu tidak sempat diluluskan, Azhar berkata, perkara itu perlu diajukan  kepada Kementerian Kewangan (MoF).

“Kena tanya MoF, saya tidak tahu kerana kita cuma senaraikan apa yang diberi notis kepada kita. Senarainya ialah dalam sidang kali ini, Bajet 2023 akan dibawa untuk bacaan pertama dan pada Jumaat akan dibawa untuk bacaan kedua.

“Kemudian, akan dibahas di peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa. Itu adalah seperti yang termaklum sekarang,” ujarnya.

Mengulas sama ada Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2023 , jelas Azhar, seperti kelazimannya, belanjawan akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

“(Setakat ini) tidak ada (pemakluman siapa akan bentang),” katanya lagi.

Jelasnya, jika Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan selepas Bajet 2023, maka kerajaan yang baharu perlu membuat bacaan yang pertama semula.

“Sebab ini belanjawan, ia tidak mengikat kerajaan yang berikutnya, jadi kena ada bacaan pertama yang baharu. Boleh guna bajet yang sudah dibentangkan, kalau dia (kerajaan baharu) nak guna,” jelas beliau.

Untuk rekod, pada 29 Oktober 1999, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad telah membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2000, dan ia menyaksikan bajet berkenaan tidak sempat diluluskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here