[VIDEO] Lebih tenang tanpa populariti, Nazrey dedah punca keluar Raihan

0
576

SELEPAS hampir 16 tahun meninggalkan Raihan, bekas vokalis kumpulan Raihan iaitu Ustaz Nazrey atau nama sebenarnya Nazrey Johani mendedahkan punca sebenar dia mengambil keputusan itu dahulu dan memilih jalan berdakwah di Sabah.

Menurutnya, sepanjang beliau bersama kumpulan itu, hatinya tidak pernah rasa tenang kerana hidup dalam perhatian ramai dan mengakui beliau bukan seorang yang gemar dengan dunia populariti.

“Selama saya dengan Raihan, saya tidak pernah senang hati. Walaupun pergi (kerja) ke luar negara, saya tidak pernah memikirkan soal populariti, sebaliknya hanya berfikir tentang kerja sahaja.

“Ya Allah, kalau ini bukan tempat saya keluarkan saya dengan cara baik. Selalu saya berdoa begitu hampir setiap hari kerana saya tidak mahu populariti itu.

“Hati saya tidak tenang, jadi saya minta doa untuk diberi jalan keluar secara baik daripada Raihan,” katanya menerusi satu video di akaun TikTok rasminya.

Bercerita lebih lanjut, bekas penyanyi nasyid berumur 50 tahun itu berkata, beliau menerima pelawaan daripada seorang rakannya untuk berdakwah di sekitar kampung di Sabah.

“Katanya jika saya datang berdakwah ke sana, ia dapat menarik lebih ramai umat Islam solat berjemaah di masjid.

“Pada satu hari saya seperti dibisikkan dengan satu suara yang berkata… Nazrey kau teruskan kerja dakwah ini tetapi ingat kena yakin dengan rezekiku.

“Sewaktu itu, saya merasakan seperti perlu meninggalkan Raihan dan melakukan kerja-kerja dakwah. Saya sempat meminta izin ibu untuk keluar dari Raihan dan alhamdulillah direstui,” katanya yang 14 tahun bersama Raihan.

Walaupun Nazrey sedar keputusan itu telah mengundang kemarahan dalam kalangan ahli kumpulan, namun beliau tekad dengan keputusannya kerana tidak ada yang menghalang dirinya daripada berhenti.

“Ketika saya mengatakan ingin keluar daripada Raihan, mereka tidak memujuk sebaliknya berkata ‘kalau nak berhenti, berhentilah!’

“Sejak itu, saya sudah bebas dari Raihan dan menjalani kerja-kerja dakwah di Sabah,” katanya yang masih berada di Sabah untuk berdakwah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here