PAC panggil agensi terbabit berkait kelewatan projek OPV

0
271

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa agensi yang terbabit secara langsung dalam pembinaan kapal peronda luar pesisir (OPV) bagi memulakan prosiding berhubung projek itu.

Agensi yang terbabit adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat yang terlibat dalam pembinaan OPV berkenaan.

Pengerusinya, Wong Kah Woh dalam kenyataan berkata pihak terlibat perlu menjelaskan kepada rakyat sebab kelewatan projek tersebut.

Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor, berkata PAC wajar untuk mengadakan prosiding berhubung isu itu.

“Ia selaras dengan punca kuasa jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut “…apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa…”.

“PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri dalam mengendalikan prosiding ini,” katanya, lapor FMT.

Wong turut memaklumkan tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan langsung tidak menghalang PAC menjalankan siasatan terhadap sebarang isu.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Zubil Mat Som sebelum ini berkata, tiga kapal OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan oleh syarikat tempatan, THHE Destini Sdn Bhd.

Katanya, pandemik Covid-19 turut menyumbang kepada kelewatan itu dan kapal OPV 1 dijangka diserahkan kepada Maritim Malaysia awal tahun depan, manakala OPV 2 serta OPV 3 diserahkan secara berperingkat.

Selain itu, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof turut dilaporkan menggesa PAC menyiasat kelewatan penyerahan kapal itu bagi mengelakkan kes kapal tempur pesisir (LCS) berulang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here