Polis Johor lupus dadah RM6.11 juta

0
271

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor melakukan pelupusan dadah bernilai RM6.11 juta yang melibatkan kes-kes sudah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman bagi tempoh 2002 hingga 2021.

Pelupusan itu melibatkan pelbagai jenis dadah berjumlah 301.54 kilogram (kg) dan 642.37 liter yang akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Johor, Datuk kamarul Zaman Mamat berkata, antara dadah dilupuskan heroin seberat 41.79 kg; kanabis (20.21kg); ketamin (2.49kg); metamfetamin (9.90kg); methylenedioxy methamphetamine (25.45kg) dan daun ketum (192.03kg) selain pelbagai jenis dadah (9.65kg dan 642.37 liter).

“Jumlah itu berkurang sedikit berbanding tahun lalu apabila JSJN Johor telah berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 1,765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahry, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh dari 1 Januari hingga kelmarin, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 10,556 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan bagi tempoh berkenaan juga 4,956 kes telah selesai.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 2.72 tan dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM12.26 juta.

“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN 012-2087222,” katanya.

Mengenai persiapan banjir, beliau berkata, sebanyak 15 bot polis dan beberapa aset serta jentera lain disediakan untuk membantu agensi lain dalam menghadapi bencana alam tersebut.

“Polis bersiap sedia hadapi banjir dan semua pihak perlu patuhi arahan diberikan pihak penguatkuasaan. Mereka dinasihatkan dapatkan maklumat daripada jabatan kaji cuaca, polis bersama agensi lain bersiap sedia untuk beri bantuan,” ujar beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here