Isteri sarat mengandung, suami didakwa cedera dua anak saudara

0
189

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, atas pertuduhan menganiaya hingga menyebabkan kecederaan fizikal dua beradik yang juga anak saudara mereka.

Tertuduh, Julianah Omar, 34 dan suaminya, Muhammad Asyari Mohd Alwi, 29, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap dua kanak-kanak berkenaan masing-masing berusia enam dan tujuh tahun sembilan bulan menganiaya mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di kediaman pasangan suami isteri berkenaan di sebuah apartmen di Taman Cahaya, Ampang, Kuala Lumpur antara Ogos lalu hingga 16 September lalu.

Pesalah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali yang mencadangkan supaya kedua-dua tertuduh berkenaan diikat jamin RM15,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan terbabit dengan seorang penjamin tempatan.

Aiza turut mengemukakan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Ketika ditanya hakim mengenai status dua beradik berkenaan, Aiza memaklumkan bahawa mereka sedang menerima rawatan di hospital dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Azlinie Othman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu anak guamnya diberikan jaminan antara RM7,000 hingga RM8,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan atas alasan Julianah yang juga suri rumah sedang mengandung lima bulan selain menghidap diabetes dan gout.

Katanya, kandungan Julianah berstatus risiko tinggi yang perlu mendapatkan rawatan berkala di hospital memandangkan dia pernah mengalami keguguran sebelum ini.

Menurut laporan Harian Metro, Azlinie turut memaklumkan bahawa Muhammad Asyari yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mempunyai pendapatan rendah iaitu sekitar RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap tertuduh bagi dua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 November bagi serahan dokumen dan laporan penuh perubatan kedua-dua mangsa.

Terdahulu, media melaporkan kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6 petang pada 16 September lalu selepas disyaki mendera dua beradik berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here