Wanita didakwa atas 166 tuduhan tipu ‘kekasih’ lebih RM400,000

0
649

SEORANG peniaga tudung didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis terhadap 166 pertuduhan menipu ‘kekasih’ yang dikenali di laman sosial Facebook dengan nilai keseluruhan RM483,570.

Natasha Adini Abdullah, 27, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang didakwa berlaku antara 3 Julai 2018 hingga 6 Ogos 2020 itu dan mohon dibicara selepas kertas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa selama tiga jam di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 32 tahun melalui pinjaman wang antara RM300 hingga RM10,000 selepas menyamar sebagai ‘Nur Farah Alisya’, memetik laporan BH Online.

Dia dengan curangnya mendorong lelaki itu yang berniaga barang basah secara dalam talian, membuat transaksi pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM483,570 ke dalam akaun bank atas nama Natasha Adini Abdullah.

Kesalahan itu dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini pada tarikh dinyatakan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM285,000 untuk semua pertuduhan.

Natasha Adini merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan wang jaminan kepadanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,700 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta melantik peguam dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here