Dua beradik direman 3 hari disyaki buat bayaran palsu bernilai RM23 juta

0
33

DUA beradik direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat kes membuat pembayaran palsu bernilai lebih RM23 juta bagi projek pembinaan pangsapuri.

Majistret Mahkamah Putrajaya Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman bermula hari ini sehingga Jumaat, selepas kedua-dua lelaki berusia 60-an itu ditahan pada 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek adalah bekas pengarah urusan di sebuah syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan.

“Suspek disyaki membuat pembayaran palsu kepada perunding, subkontraktor dan pihak-pihak ketiga dengan menggunakan kemudahan perbankan overdraf sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta.

“Mereka melakukan kegiatan berkenaan antara tahun 2017 hingga 2019 bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta sedangkan projek tersebut tidak dijalankan,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here