Yang di-Pertuan Agong tingkatkan pegangan dalam Citaglobal

0
273

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meningkatkan pegangan dalam Citaglobal Bhd, syarikat senaraian awam yang terbabit dalam industri kejuruteraan sivil, pembinaan, minyak dan gas (O&G) serta pembuatan.

BH Online melaporkan Al-Sultan Abdullah kini menguasai kepentingan 12.4 peratus, meningkat daripada 9.0 peratus sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata, Al-Sultan Abdullah memiliki kepentingan langsung sejumlah 132,118,593 unit saham dalam syarikat yang mula diperbadankan atas nama Weng Zheng Resources Bhd dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2 Januari 2008.

Syarikat turut memiliki unit operasi utama iaitu Citaglobal Land Sdn Bhd, Sinergi Dayang Sdn Bhd, Citaglobal Energy Sdn Bhd dan WZS Industries Sdn Bhd.

Pada 7 Jun lalu, kumpulan itu menukar nama kepada Citaglobal Bhd sebagai memberi gambaran yang lebih baik mengenai skop perniagaan yang bergerak ke hadapan.

Menurut laman web rasmi Citaglobal, syarikat itu berhasrat menjadi sebuah konglomerat yang terbabit dalam sektor pengurusan kemudahan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan teknologi.

Citaglobal dipimpin oleh Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden dan Pengerusi Eksekutif bersama Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tengku Datuk Seri Uzir Tengku Ubaidillah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here