Perjelaskan dakwaan kononnya Najib terima ‘layanan istimewa’ – Syed Saddiq

0
195

PIHAK berkuasa perlu menjelaskan dakwaan kononnya Datuk Seri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara diberikan ‘layanan istimewa’.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, desas-desus itu timbul susulan bekas Perdana Menteri itu dihantar mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Ahli Parlimen Muar itu mempertikaikan layanan dua darjat, yang didakwa diberikan buat Najib, meskipun bekas Perdana Menteri itu kini berada dalam penjara.

“Jadi dakwaan pasal ‘merpati’ betullah? Jadi, banduan pun masih ada layanan dua darjat. Pihak terbabit harus beri penjelasan kenapa special treatment (layanan istimewa) diberikan kepada Najib,” katanya dalam twit di akaun Twitternya seperti, dilapor BH Online.

Sebelum ini, Jabatan Penjara mengesahkan, Najib sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di HRC pada 19 September lalu selepas dirujuk pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), Najib dihantar ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan selepas perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Jabatan itu turut dilaporkan berkata, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya turut mendakwa maklumat berhubung keberadaan Najib di HRC terpaksa dikeluarkan pihak penjara selepas informasi mengenainya sudah tersebar.

“Kalau info tak bocor, rasanya ada keluar ke kenyataan daripada Jabatan Penjara?” soalnya.

Ciapan dari akaun Twitter milik Syed Saddiq hari ini

Terdahulu media melaporkan, Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here