Bella sebut nama ‘Benon’ bila doktor tanya siapa buat – Saksi

0
313

CILI dan panas. Itu antara perkataan yang disebut remaja Sindrom Down dikenali Bella ketika temu bual bersama Pakar Psikiatri di Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini, pada September tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan saksi pendakwaan ke-17, Pakar Psikiatri Hospital Selayang, Dr Wan Asyikin Wan Azlan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Memetik laporan BH Online, Wan Asyikin yang ketika itu bertugas di Hospital Tunku Azizah memaklumkan Bella turut membuat pergerakan tangan seperti diikat selain menggosok matanya.

Nor Azizah: Doktor (Wan Asyikin) kata buat mental state examination (pemeriksaan keadaan mental), ada Doktor melihat keadaan Bella pada waktu itu dan apa pemerhatian Doktor?

Dr Wan Asyikin: Pada asalnya sangat pemalu hanya berpaut kepada Puan Hidayah (Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan enggan berkomunikasi dengan saya serta dua lagi individu. Saya keluarkan kertas lukisan dan pewarna, Bella berminat dan setuju duduk di meja kecil di dalam bilik saya untuk mewarna bersama saya sambil saya tanya soalan kasual.

Nor Azizah: Adakah Bella boleh jawab?

Dr Wan Asyikin: Pada asalnya Bella tak jawab, hanya senyum dan terus mewarna. Kemudian saya bertanya mengenai keadaan Bella di rumah dan dia jawab boleh lakukan beberapa aktiviti. Bella sedikit pelat dan jawab satu patah saja tanpa struktur ayat.

Nor Azizah: Bella boleh berinteraksi atau tidak?

Dr Wan Asyikin: Selepas membina hubungan dengannya, dia boleh berinteraksi dengan saya tetapi perlu diingatkan penggunaan perkataan Bella adalah terhad iaitu menggunakan satu patah sahaja.

Nor Azizah: Doktor katakan Doktor ada membina hubungan dengan Bella dahulu, Kenapa perlu buat begitu?

Dr Wan Asyikin: Saya perlu membina sedikit hubungan dengan pesakit kerana seperti kanak-kanak secara asasnya takut apabila berjumpa doktor. Disebabkan Bella pemalu jadi saya gunakan mewarna untuk buat hubungan dan bercakap dengannya.

Nor Azizah: Doktor mengatakan ada bertanya keadaan Bella, jadi apa jawapannya?

Dr Wan Asyikin: Hanya sedikit saja Bella jawab, antaranya di rumah Bella pandai buat apa? Bella menjawab lipat baju, jemur baju, kemas barang, mengemop, menyapu, buat air. Kemudian saya tanya Bella pandai buat air panas ke sejuk dan Bella buat gesture (isyarat) kepada saya tunjuk tangan diikat serta cakap panas. Dia buat secara sukarela tanpa diminta berbuat demikian. Kami tanya siapa buat Bella dan dia sebut nama ‘Benon’.

Nor Azizah: Setakat mana Bella faham soalan Doktor?

Dr Wan Asyikin: Susah nak jawab dia faham atau tidak. Pada awalnya dia tak jawab soalan saya jadi susah nak kata sama ada dia faham ke tak. Apabila saya tanya dia jawab Benon, selain buat pergerakan dan tunjuk mata guna perkataan cili.

Pada masa sama, saksi itu turut memberitahu ada bertanya dua soalan kepada Bella iaitu adakah dia mahu berjumpa dengan Siti Bainun dan hendak balik ke Rumah Bonda, Bella menggelengkan kepala.

Menurut saksi itu biarpun Bella menjawab apa yang ditanya, remaja itu mempunyai ketidakupayaan intelektual.

Bagaimanapun, katanya, Bella masih boleh menguruskan diri sendiri dan bersosial.

Sementara itu semasa disoal balas oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tidak pernah melihat Bella menguruskan diri sendiri selain tidak pernah berjumpa dengan Siti Bainun.

Selain itu, saksi turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada keterangan daripada Bella menyebut perkataan ‘disimbah’ atau ‘simbah’.

Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here