Wanita buka klinik pergigian haram didenda RM25,000

0
207

SEORANG seorang wanita warga China didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini kerana menjalankan operasi klinik pergigian haram.

Hakim Nariman Badruddin memutuskan jumlah denda itu selepas tertuduh Jiang Jun Yin, 33, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut menetapkan hukuman empat bulan penjara sekiranya wanita itu gagal melunaskan denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan, Jun Yin didapati menyediakan sebuah klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Laksamana Cheng Ho, Melaka, pukul 3.25 petang, pada 6 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, wanita yang telah berkahwin dengan lelaki tempatan itu didapati tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia malah tidak berkelayakan menjalankan sebarang aktiviti pergigian.

Dia dipercayai menjalankan perniagaan itu selama tempoh dua bulan khusus kepada rawatan pemutihan gigi sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nozaizeli Abu Samah memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Nizaizeli berhujah, aktiviti pemutihan gigi tidak dilakukan di bawah seliaan individu tidak bertauliah, boleh menyebabkan kemudaratan seperti jangkitan kuman dan sebagainya terhadap mereka yang mendapatkan rawatan tersebut.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam, Jagdeep Kaur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here