Muhyiddin bercakap demi rakyat, BN desak demi kuasa

0
360

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

SEBELUM ini amat jarang sekali atau boleh dikatakan hampir tidak ada,  ulasan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguruskan negara.

Selama ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seboleh-bolehnya mahu mengelak membuat kenyataan yang dilihat atau ditafsirkan mahu menggugat kepemimpinan Ismail Sabri.

Apa yang beliau lakukan ialah menggunakan platform Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk melontarkan pandangan dan cadangan kepada kerajaan berhubung langkah-langkah pemulihan negara selepas ‘serangan’ pandemik Covid-19.

Itupun selepas beliau sebagai Pengerusi MPN mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan anggota Kabinet serta pakar-pakar. Setiap cadangan atau syor kepada kerajaan dilakukan secara berhati-hati dan tiada sebarang unsur politik.

Walaupun banyak atau boleh dikatakan hampir majoriti cadangan atau syor oleh MPN tidak dilaksanakan oleh kerajaan namun Muhyiddin masih mampu bersabar. Kalau adapun sekadar mengingatkan kerajaan apa yang sudah diputuskan oleh MPN.

Namun hari ini, nada Muhyiddin seolah-olah berubah apabila berkata; ‘’Tetapi sayapun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dan dipilih oleh rakyat.’’

Penulis yakin kenyataan Muhyiddin akan mendorong pemimpin tertentu dalam UMNO ‘melompat’. Mereka akan mencabar Muhyiddin menekan butang – maksudnya menarik sokongan kepada Perdana Menteri – sekaligus membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Faktanya yang bagai ‘nak rak’ dari semasa ke semasa mendesak  Ismail Sabri membubarkan Parlimen adalah pemimpin UMNO sendiri. Pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu termasuklah Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi tidak habis-habis ‘meratib’ mahukan PRU diadakan sehinggakan menegaskan, ‘’kalau banjir pun sanggup diredah.’’

Hujah-hujah pemimpin UMNO langsung tidak bersandarkan atau melihat situasi negara sekarang yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi sehingga memberi kesan kepada rakyat, apa yang mereka mahukan ialah PRU-15 segera supaya kononnya akan menghalang pembangkang daripada melakukan fitnah terhadap BN.

Sepatutnya, pemimpin-pemimpin BN tidak perlu takut jika benar pembangkang akan menggunakan strategi menghasut atau memfitnah. Kalau tiada apa-apa kesalahan, salah guna kuasa atau penyelewengan apa nak takut, biarlah rakyat menilai.

Sekarang maklumat di hujung jari, sama ada sesuatu maklumat itu betul atau tidak, rakyat boleh tahu sekelip mata. Lagipun Ahmad Zahid pun sudah kata, UMNO dan BN sudah bersedia sepenuhnya hadapi PRU-15, kalau begitu keadaan sudah pastilah apa juga ‘serangan’ akan dapat ditepis.

Dulupun isu 1MDB dianggap fitnah dan propaganda sehingga Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. ‘Salah’ Muhyiddin satu sahaja – minta penjelasan kerajaan. Tetapi sekarang sudah terbukti apa yang dikatakan sebagai fitnah dan propaganda itu adalah kebenaran.

Bagaimanapun dalam konteks kenyataan Muhyiddin hari ini, beliau menegaskan, ‘’jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonimi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan…’’.

Muhyiddin tidak bercakap kosong atau sembrono. Ahli Parlimen Pagoh dan bekas Perdana Menteri itu membentangkan kenapa beliau melontar pandangan demikian.

Sebelum mana-mana pemimpin-pemimpin UMNO mahu ‘melompat bagaikan kera kena belacan’ cuba kaji adakah fakta-fakta yang disenaraikan dalam kenyataan Muhyiddin itu benar atau rekaan.

Antaranya beliau berkata;

*Laporan kajian Merdeka Centre mendapati 21 peratus rakyat mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari, 12 peratus tangguh rawatan perubatan dan 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.

*Kajian sebuah entiti bukan kerajaan, Mindshare pula menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60) iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan selepas pandemik. 79 peratus kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

*Kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik beri kesan buruk kepada kehidupan rakyat.

Itu antara perkara yang dibentangkan oleh Muhyiddin dan beliau juga menegaskan, selaku Pengerusi MPN beliau telah menyuarakan kebimbangan dan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhanan yang terkesan.

Malah kata beliau banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudahkan cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang runcing.

Tetapi malangnya, apa yang kita boleh perhatikan, kebanyakan syor MPN dipandang sepi oleh kerajaan. Mungkin juga kerajaan bimbang kalau syor majlis itu dilaksanakan ia akan memberi kelebihan politik kepada PN memandangkan Muhyiddin adalah Pengerusi PN.

Muhyiddin bukan mahu bermain politik apabila melontarkan pandangan supaya Parlimen dibubarkan. Beliau  berkata demikian kerana bimbang melihat situasi ekonomi negara yang semakin menekan kehidupan rakyat. Justeru lebih baik serah kembali mandat kepada rakyat.

Janganlah pula selepas ini akan ada pemimpin UMNO yang berkata, kerajaan sekarang lemah kerana di dalamnya ada PN, tetapi perlu ingat yang dok mengganggu Ismail Sabri dengan gerakan politik ialah pemimpin UMNO.

Yang dok fitnah Perdana Menteri melalui ‘live’ media sosial adalah ahli UMNO, yang dok desak bubar Parlimen kerana yakin BN boleh menang ialah pemimpin UMNO, jadi tidak payahlah menuding jari kepada orang lain.

Lagipun hari ini kali pertama Muhyiddin bercakap soal bubar Parlimen itu pun seperti mana kata beliau,’’ saya belum sampai ke tahap mendesak…’’ tetapi ‘’…saya pun terfikir’’. Keadaan ini berbeza dengan tekanan oleh pemimpin BN khususnya UMNO terhadap Perdana Menteri.

Kesimpulannya, Muhyiddin TERFIKIR bubar Parlimen demi rakyat dan negara, tetapi pemimpin UMNO DESAK pilihan raya demi kuasa politik…itu sahaja.

Penulis adalah penganalisis politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here