Tun M ketinggalan zaman, isu kafir-mengkafir sudah berlalu

0
236

PAS menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ketinggalan zaman dan terdesak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila kembali membangkitkan isu kafir-mengkafir yang sudah lama berlalu.

Malah, isu orang Pas dan UMNO yang dahulu bertelagah sehingga ada yang sembahyang dua imam sekitar 70-an, 80-an juga tidak berlaku lagi dengan masyarakat Islam kebanyakannya sudah bersatu ketika ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, isu kafir-mengkafir antara Pas dan UMNO sudah lama selesai dan perkara itu tidak perlu dibangkitkan lagi untuk menimbulkan perpecahan.

Katanya, jika dahulu, Pas sememangnya menentang keras apabila UMNO mendakwa ‘politik suku, agama suku’ dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan itu juga sudah tidak ada lagi pada masa ini.

Soal Hashim, mengapa Dr. Mahathir perlu membangkitkan lagi perkara tersebut yang dilihat sengaja mengundang perpecahan?

“Sekarang, Pas ada agenda baharu penyatuan ummah dan kita ke arah itu untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini. Sepatutnya, beliau beri pandangan ke arah penyatuan bukan perpecahan.

“Dr. Mahathir dilihat sudah terdesak tidak ada isu mahu dibangkitkan sehingga membangkitkan perkara lama yang sudah lama selesai,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Kelmarin, media melaporkan, Dr. Mahathir mendakwa Pas kini sudah menjadi parti ‘kafir’ kerana bekerjasama dengan UMNO parti yang pernah ‘dikafirkan’ pemimpin mereka dahulu.

Bekas Perdana Menteri yang menjadi pemimpin tertinggi UMNO ketika parti itu ‘dikafirkan’ Pas menegaskan, selagi parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak ‘menghapuskan’ dakwaan dibuat terhadap UMNO sebelum ini, ia memberi gambaran Pas kini bukan lagi parti Islam.

“Pas ini, kita dapati tindakan mereka pelik sikit, berbeza dengan pendirian mereka dahulu. Dulu Pas kata UMNO parti kafir, macam-macam tuduhan terhadap UMNO tapi tanpa menafikan tuduhan tersebut, mereka bekerjasama pula dengan UMNO,” kata Dr. Mahathir.

Sementara itu Hashim berkata, agenda penyatuan ummah yang dibawa Pas ketika ini sangat diperlukan dalam menyatupadukan parti-parti Melayu Islam di negara ini.

“Jadi, tidak perlu dibangkitkan lagi isu lama (kafir-mengkafir) ini sebaliknya kita terus ke arah penyatuan ummah demi kepentingan Melayu Islam di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here