Farah Ann ‘kembali’ ke dunia gimnastik

0
317

FARAH Ann Abdul Hadi membuat ‘penampilan’ selepas bersara daripada sukan gimnastik apabila muncul sebagai juri di Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022.

Olimpian negara yang bersara sebagai atlet pada awal tahun ini, nyata teruja diberikan peluang berkenaan dan secara tidak langsung memberikan ruang kepadanya untuk berbakti kepada sukan kegemarannya itu.

“Saya terbabit sebagai juri ini disebabkan ini adalah cara untuk saya berbakti semula kepada sukan gimnastik ini. Juri ini pun penting sebab dia tahu kekurangan seseorang gimnas itu,” kata Farah yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

“Daripada sini, kita boleh berbincang dengan mereka dan juga jurulatih untuk tambah baik apa yang perlu. Saya sangat gembira sebab masih boleh menolong pasukan negara. Sudah tentu saya sangat sayang sukan ini dan inilah cara untuk saya berbakti semula,” katanya yang turut teruja dapat melihat perkembangan pelapis.

“Saya rasa sangat teruja sebab kebanyakan gimnas kali ini ada yang junior saya dan ada juga rakan latihan saya dulu. Ia sangat menyeronokkan untuk menceburi bidang baharu ini,” katanya memetik laporan BH Online.

“Saya juga gembira dapat lihat perkembangan sukan gimnastik dalam kalangan gimnas junior dan juga pada peringkat negeri itu sendiri. Saya tak sabar nak lihat mereka bersaing sebagai wakil negara di peringkat antarabangsa nanti.

“Secara keseluruhan, saya lihat semua persembahan gimnas dalam Sukma ini bagus. Saya rasa platform ini sangat bagus sebab mereka boleh bersaing dalam peringkat negara. Kualiti mereka sangat baik dan saya harap boleh terus berkembang.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here