Exco Johor minta maaf, kereta rasmi tular potong barisan

0
388

“BUAT silap kena mengaku silap, saya mohon maaf,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon yang mengaku kenderaan rasmi dinaiki memotong barisan dalam kejadian pada Isnin lalu.

Tian Soon berkata, ketika kejadian beliau menaiki kenderaan rasmi yang dipandu oleh pemandunya dan berikutan mengejar masa, pemandu memasuki lorong kecemasan untuk ke simpang ketika dalam perjalanan dari Yong Peng ke Batu Pahat.

“Dia (pemandu) terlewat dan kejar masa. Dia keluar awal untuk membelok di simpang,” katanya, lapor Harian Metro.

Sebelum ini, tular video berdurasi 24 saat memaparkan Toyota Camry Exco kerajaan negeri menggunakan laluan kecemasan ketika jalan sesak dipercayai di Tongkang Pecah, Batu Pahat pada Rabu lalu sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai di media sosial.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan kenderaan itu milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaannya kepada Tian Soon.

Beliau berkata, kelmarin pihaknya menerima video tular berkaitan Toyota Camry bernombor pendaftaran JDT 9 berwarna hitam bertindak memotong barisan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati kesalahan berlaku pada jam 9.45 pagi Isnin di Jalan Tongkang Pechah Batu Pahat di sini.

“Pemandu kenderaan dipanggil bagi siasatan pada 3.30 petang hari ini dan dikenakan saman mengikut Rule 6(1) LN 166/59,” katanya menerusi siaran media hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here