KJ bertanding kerusi Parlimen Alor Setar?

0
316

Oleh Badlishah Mat

URA-ura Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan bertanding di Kedah semakin kencang setelah salah seorang pemimpin UMNO di negeri itu membuat kenyataan yang menguatkan dakwaan itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat berkata, memang ada perancangan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Rembau itu di kerusi Parlimen Alor Setar.

Kenyataan itu dimuat naik Zambri malam tadi susulan jawapan Khairy yang secara berseloroh memaklumkan ada mesej yang ingin disampaikan ketika beliau hadir ke Kedah sempena majlis perasmian Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.

“Keseluruhan usul daripada UMNO Cawangan adalah mahu UMNO bertanding di Parlimen Alor Setar dan Datuk Mohd. Yusof Ismail (Ketua UMNO Bahagian Alor Setar) sebagai calon.

“Juga dibincangkan ‘secara berdua’ adalah kemungkinan membawa YB KJ (Khairy) bertanding di Parlimen Alor Setar. Ingatkan sulit kami berdua sahaja tahu.

“Rupanya semasa mesyuarat bersama beberapa agensi di bawah Majlis Perundingan Usahawan yang dihadiri hampir 30 orang, Datuk Mohd. Yusof ‘berjiwa besar’ memaklumkan kepada pegawai pejabat kesihatan daerah agar bersedia kerana menteri nak bertanding di Parlimen Alor Setar,” katanya dalam Facebook miliknya, semalam.

Dalam hantaran sama, Zambri turut bertanyakan kepada penduduk Alor Setar khususnya para pengundi kawasan itu sama ada boleh memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya Khairy atau Mohd. Yusof bertanding di situ.

Semalam, bekas Ketua Pemuda UMNO itu secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada PRU15 nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menerima pelawaan untuk bertanding kerusi Parlimen bagi UMNO di negeri lain.

“Hari ini saya berada di sini (Kedah) untuk berbincang dan berunding dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Mak saya daripada Kedah,” katanya. 

Baru-baru ini, Mohd. Yusof mengulangi pendirian agar BN meletakkan calon daripada UMNO berbanding MCA bagi kerusi Parlimen Alor Setar dalam PRU15.

Ia berikutan komposisi pengundi di Parlimen berkenaan yang memiliki lebih 65 peratus pengundi Melayu dan hanya 23 peratus pengundi Cina.

Parlimen Alor Setar merupakan kerusi tradisi MCA namun parti itu mengalami kekalahan teruk pada PRU13 dan PRU14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here