3 ahli Parlimen, 2 ADUN akan sertai PBM sebelum PRU-15

0
291

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mendedahkan, lima wakil rakyat akan menyertai parti tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Ampang itu yang enggah mendedahkan identiti mereka memberitahu, lima wakil rakyat itu terdiri daripada tiga ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“InshaAllah, saya sudah katakan PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN. Kesemua kerusi itu adalah melibatkan calon ‘incumbent’.

“Ketika ini PBM ada empat Ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida); Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon); Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi). Ini bermakna ada tiga lagi (Ahli Parlimen) baharu akan sertai PBM.

“Begitu juga dengan ADUN, buat masa ini PBM ada lima ADUN iaitu tiga dari Perak dan dua dari Selangor, jadi akan ada dua lagi ADUN bakal sertai PBM,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat PBM Johor di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Naib Presiden Kanan PBM dan Pengerusi PBM Johor.

Sementara itu, Zuraida berkata, PBM kini memiliki lebih 40,000 ahli dari 177 Bahagian yang telah didaftarkan setakat ini.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ini dikenali dengan identiti bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum mereka, dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, PBM juga juga mempunyai kepimpinan daripada golongan tua dan muda sekali gus itu faktor yang menguatkan parti tersebut.

“Walaupun masih baharu tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,” jelasnya yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here