PRU15: PN Selangor sepakat formula agih kerusi

0
516

PERIKATAN Nasional (PN) secara asasnya telah selesai melakukan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen Bersatu, PAS dan Gerakan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Naib Pengerusi PN Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata kesepakatan itu dicapai melalui satu formula agihan kerusi yang melihat Bersatu serta PAS masing-masing bertanding sembilan Parlimen, manakala Gerakan empat.

“Kita setuju pada dasarnya di mana kawasan PAS nak bertanding kita beri kepada PAS, dan Bersatu ambil kawasan yang nak bertanding. Begitu juga dengan Gerakan,” katanya kepada FMT.

Katanya, fokus gabungan itu ketika ini adalah memantapkan kerjasama jentera tiga parti Bersatu, PAS dan Gerakan di peringkat kawasan membabitkan 22 Parlimen seluruh Selangor.

“PN Selangor juga telahpun menubuhkan pengerusi badan perhubungan kawasan di semua kawasan Parlimen dan kita sedang berusaha untuk menubuhkan jentera di peringkat kawasan Parlimen melibatkan tiga parti (iaitu) PAS, Bersatu dan Gerakan,” katanya.

Rashid berkata gelombang kerusi majoriti Melayu yang sebelum ini memihak kepada PH tidak lagi berlaku, dan peluang PN untuk menang cerah di samping sokongan kerusi bukan Melayu semakin meningkat.

“Kalau berdasarkan PRU14 kebanyakan kawasan Melayu…sokong PH, kerana ada tsunami disebabkan kelemahan yang dilakukan pemimpin Umno waktu itu. Jadi sekarang ini tsunami kepada PH tidak ada lagi, peluang PN menang ada.

“Kita juga akan jadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri kerana kita tahu semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri pelbagai usaha dilakukan dalam usaha membawa negara keluar dari wabak Covid-19 termasuk pelbagai bentuk bantuan diberikan, jadi rakyat melihat semua itu,” katanya.

PN Selangor diketuai Mohamed Azmin Ali dalam menghadapi PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here